Powered By Blogger

Sudut Kreatif

Sunday, October 11, 2009

Siapa Aku?


Oleh : USTAZ HADI HUDA (diedit ke bahasa Malaysia oleh Abu Wajihah)

Ilmu merupakan salah satu nilai luhur yang dibawa oleh ajaran Islam dan yang tegak di atasnya kehidupan manusia, baik secara moral maupun material, duniawi mahupun ukhrawi. Islam menjadikannya sebagai jalan menuju keimanan dan yang memotivasi amal. Nikmat ilmulah yang menyebabkan manusia diberikan amanah oleh Allah sebagai 'khalifah' di atas mukabumi ini. Sesungguhnya Islam adalah agama ilmu dan al-Quran adalah kitab ilmu. Ayat al-Quran yang pertama sekali turun kepada Rasulullah (saw) adalah "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakanmu."(surah al-'Alaq,ayat:1)

Membaca adalah kunci untuk memahami ilmu dan al-Quran merupakan "Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya, yakni bacaan dalam bahasa Arab, untuk kaum yang berilmu."(surah al-Fushshilat,ayat:3)

Al-Quran telah menjadikan ilmu sebagai asas dan kayu ukur kemuliaan di kalangan manusia.Allah (swt) berfirman: "Apakah sama orang-orang yang berilmu dan orang-orang yang tidak berilmu?."(surah az-Zumar,ayat:9)

Sebagaimana juga al-Quran telah menjadikan 'ahlul ilmi'(ahli ilmu) sebagai syuhada' (orang-orang yang bersaksi) terhadap keesaan Allah bersama para Malaikat. Firman Allah (swt): "Allah telah bersaksi bahawasanya tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia,(demikian pula) para Malaikat dan orang-orang yang berilmu, yang menegakkan keadilan. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."(surah Ali 'Imran,ayat:18)

Demikian juga 'ahlul ilmi' adalah orang-orang yang paling takut kepada Allah (swt) dan bertaqwa kepadaNya. FirmanNya: "Sesunggungnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu ('ulama)."(surah Fathir,ayat:28)

Maka tidak ada yang takut kepada Allah kecuali orang-orang yang bermakrifat kepadaNya. Allah (swt) itu boleh dikenal melalui tanda-tanda kekuasaanNya dan rahmatNya kepada para makhlukNya. Oleh kerana itu, secara umumnya masalah ini dimasukkan dalam perbahasan tentang alam semesta, sebagaimana firmanNya:

1-"Tidakkah kamu melihat bahawasanya Allah telah menurunkan hujan dari langit lalu Kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan yang beraneka ragam jenisnya. Dan di antara gunung-ganang itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya dan ada pula yang hitam pekat. Dan demikian pula di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu ('ulama). Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun."(surah Fathir,ayat:27-28)

2-"...Dan bertakwalah kepada Allah, nescaya Allah akan mengajarmu dan Allah Maha Mengetahui akan segala sesuatu."(surah al-Baqarah,ayat:282)Rasulullah (saw) bersabda: "Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap lelaki dan perempuan."(al-Majlisi,Bihar al-Anwar, Jilid 1,ms 177)

Menurut Islam, menuntut ilmu itu adalah suatu bentuk ibadah yang agung yang mampu membawa pelakunya ke syurga. Namun, tujuan di sebalik menuntut ilmu itu adalah lebih utama dari menuntut ilmu itu sendiri.Imam Ali bin Abi Thalib (as) bersabda: "Ilmu itu ada tiga bahagian: pemahaman dalam agama, pengetahuan tentang kesihatan tubuh badan dan kemampuan dalam mengendalikan lidah ketika berbicara."(Kunuz al-Hikmah,ms 365)

Mencari ilmu dengan niat yang ikhlas, demi mencapai keredhaan Allah dan berbakti kepada makhlukNya, bakal membawa seseorang itu menuju ke syurga dan ditemani oleh para Anbiya' dan Auliya'.Nabi (saw) bersabda: "Dunia ditegakkan dengan 4 perkara: orang berilmu yang mengamalkan ilmunya, orang bodoh yang tekun belajar, orang kaya yang tidak bakhil dengan kebaikan dan orang fakir yang tidak menjual akhiratnya."Imam Ali ar-Ridha (as) bersabda: "Sahabat setiap orang adalah kearifannya dan musuhnya adalah kejahilannya."(Ushul al-Kafi,Jilid:1,ms:11)

Nabi (saw) bersabda: "Ketahuilah bahawa ilmu itu lebih baik dari amal. Seorang alim ialah yang mengamalkan ilmunya meskipun sedikit."(Madinah al-Balaghah,Jilid:1,ms:106)

Nabi (saw) bersabda: "Manusia yang paling lapar adalah orang yang mencari ilmu, manusia yang paling kenyang adalah orang yang tidak mahu mencarinya."(Kanz al-Ummal,no:28932)

Sebaliknya, menuntut ilmu demi untuk tujuan peribadi, bermegah-megah atau memiliki tujuan-tujuan duniawi hanya menjerumuskan seseorang itu ke lembah kehancuran, kejahilan, kerosakan dan akhirnya akan membawa seseorang itu ke neraka.

Nabi (saw) bersabda: "Sesiapa yang mempelajari ilmu untuk dipamerkan, kebanggaan dan duniawi, Allah akan menghilangkan keberkatannya, menyempitkan hidupnya dan membiarkannya sendirian."(Wahj al-Balaghah)

Nabi (saw) bersabda:"Sesiapa yang beramal tanpa ilmu, ia akan lebih banyak merosak daripada memperbaiki."(Wahj al-Fashahah).

Imam Ali bin Ali (as): "Orang yang paling celaka ialah orang yang dikenal ilmunya tapi tidak dikenal amalnya."(Ghurar al-Hikam)
Kelebihan Menuntut Ilmu :
Nabi Muhammad (saw) bersabda: "Mereka yang melangkah di jalan pencarian ilmu, Allah akan membawanya terus ke jalan syurga. Sesungguhnya, para Malaikat merasa gembira menebarkan sayap mereka untuk menaungi para pencari ilmu, bahkan seluruh makhluk termasuk ikan di laut memohon keampunan buat para pencari ilmu. Kedudukan orang yang alim ke atas orang yang 'abid(ahli ibadah) adalah seperti kelebihan bulan purnama ke atas bintang-bintang pada malam bulan purnama. Para ulama' adalah pewaris para Anbiya' kerana para Anbiya tidak meninggalkan kekayaan tetapi ilmu pengetahuan. Maka beruntunglah mereka yang menelusuri di jalan ini."(al‑Kulaini,al‑Kafi,Jilid:1,kitab fadl al‑'ilmi,hadith:1)
Ciri-ciri Orang Yang Berilmu :
Ilmu apabila diraih dan diamalkan dengan tulus dan ikhlas kerana Allah, mampu mengubah seseorang itu menjadi 'manusia malaikat' yang mana amalan dan ucapannya adalah manifestasi alam yang tinggi
.

Imam Ali bin Abi Thalib (as) bersabda: "Wahai para pencari ilmu! Ilmu itu memiliki banyak keutamaan. Jika anda membayangkan ilmu sebagai manusia, kepalanya adalah kerendahan hati, matanya adalah kebebasan dari dengki, telinganya adalah kefahaman, lidahnya adalah kebenaran, ingatannya adalah pemikiran, hatinya adalah niat yang tulus, kebijaksanaannya adalah ilmu (ma'rifat) akan segala sesuatu, tangannya adalah kasih sayang, kakinya adalah perjalanan kepada ulama', azamnya adalah kejujuran, hikmahnya adalah kewarakan, gerakannya adalah menuju keselamatan, nakhodanya adalah tingkah yang baik, tunggangannya adalah keimanan, senjatanya adalah bicara yang sopan, pedangnya adalah keredhaan, busurnya adalah tolak ansur, tenteranya adalah musyawarah dengan ulama', kekayaannya adalah akhlak yang terpuji, simpanannya adalah menjauhi dosa, perniagaannya adalah sifat-sifat baik, minumannya adalah kelembutan, ikutannya adalah petunjuk Tuhan dan temannya adalah cinta kepada yang terpilih."(al‑Kulaini,al-Kafi,kitab fadl al-‘ilmi,bab al‑nawadir,hadith:3)

Nabi (saw) pernah ditanya: "Apakah ilmu?," baginda (saw) menjawab, "Diam," baginda (saw) ditanya lagi, "Kemudian?," baginda (saw) menjawab, "Mendengar dengan penuh perhatian," baginda (saw) ditanya lagi, "Lalu?," baginda (saw) menjawab, "Mengamalkan apa yang dipelajari," baginda (saw) ditanya lagi, "Setelah itu?," baginda (saw) menjawab, "Menyebarkannya."(al-Majlisi,Bihar al-Anwar,Jilid:2,ms:28)

Imam Ali bin Abi Thalib (as) bersabda: "Tiga tanda orang berilmu: Ilmu, Sabar dan Diam."(Ibid, Jilid:2,ms:59)
Larangan Menuntut Ilmu Untuk Tujuan Duniawi :
Menurut ajaran Ahlul Bait (as), adalah dilarang bagi seseorang itu menuntut ilmu untuk tujuan duniawi mahupun peribadi.Imam Ali bin Abi Thalib (as) bersabda: "Janganlah mencari ilmu kerana 4 sebab berikut:

1. Untuk membangga diri di hadapan orang yang alim,

2. Untuk berdebat dengan orang yang jahil,

3. Untuk mempamerkan diri kepada manusia,

4. Untuk menarik perhatian manusia demi menjamin kedudukan."(al-Majlisi,Bihar al-Anwar,Jilid:2,ms:31)

Seseorang yang berminat mencari ilmu, sebagai langkah permulaan, perlu menjalani proses penyucian jiwa (Tazkiyah an-Nafs), mencambahkan taqwa di dalam jiwanya, membebaskan dirinya dari niat yang tidak baik dan tidak benar, bertujuan duniawi serta sentiasa bermuhasabah diri. Harus diingat bahawa takut kepada Allah adalah ciri khusus para ulama' dan barangsiapa yang tidak memiliki ciri-ciri ini, ia dianggap berada di luar lingkungan mereka yang berilmu tanpa mempedulikan apapun kelebihan ilmu yang ia miliki.

Pada setiap langkah menuntut ilmu, seseorang itu haruslah memperbanyakkan meditasi dan merenung tujuan utama ia mencari ilmu. Bertanyalah kepada diri sendiri, mengapa kita menuntut ilmu? Adakah ianya bertujuan untuk menjamin kedudukan jawatan dan pangkat, bersaing dengan orang lain, meraih ganjaran duniawi atau status sosial? Apakah ilmu yang kita pelajari itu dicari semata mata untuk mengharapkan pujian dari orang lain? Atau adakah ianya demi mencari keredhaan Allah (swt) dengan berbakti kepada makhlukNya?

Ilmu yang diraih seharusnya menjadikan kita lebih berakhlak, ikhlas dalam perbuatan dan membuatkan kita semakin mencintai dan takut kepada Allah. Ilmu yang tidak disertai oleh tindakan dan perbuatan yang baik bukanlah ilmu dalam ertikata yang sebenar. Ilmu yang terbatas semata mata pada kata-kata dan tidak digunakan untuk berkhidmat kepada makhluk Allah adalah serendah-rendah ilmu dan akan hilang bersama berlalunya masa.Perhatikanlah tingkah laku kita sepanjang menuntut ilmu. Adakah ianya membuatkan kita semakin rendah hati dan sabar terhadap orang lain? Atau adakah ianya menjadikan kita semakin angkuh, bangga diri dan suka berdebat? Adakah dengan ilmu yang kita cari, menjadikan kita sulit menerima kebenaran dan mengakui kesalahan? Adakah kita memusuhi mereka yang lebih berilmu dari kita?

Imam Ali bin Abi Thalib (as) berkata: "Tiadalah kebanggaan yang sebenar melainkan bagi orang-orang yang berilmu kerana mereka sentiasa berada di atas jalan hidayah, mereka menunjukkan jalan hidayah kepada orang-orang yang memintanya. Memadailah ukuran bagi setiap seseorang itu kebaikan yang dilakukan sedangkan orang yang jahil sentiasa memusuhi orang-orang berilmu. Maka rebutlah kesempatan menuntut ilmu supaya kita dapat hidup selamanya kerana pada hakikatnya, manusia itu semuanya mati sedangkan orang-orang yang berilmu akan terus hidup."
Powered By Blogger